Maka berlakulah apa yang dinamakan "Kemelut Politik Perak" dengan berjayanya UMNO/BN menobatkan calon pilihannya sebagai Menteri Besar Perak.
Kekecohan dan pertempuran seperti yang berlaku di Masjid Ubudiah semalam telah dapat dielakkan dari berlaku sekiranya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menerima persembahan Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, atau setidak-tidak menerima mengadap rakyat yang ingin menemui baginda selepas Solat Jumaat di Istana.
Sungguh berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Sultan Terengganu yang menjadi Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang berkenan menerima mengadap rakyat yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum pada 10 November 2007 yang lalu sekalipun rakyat terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum sempat sampai ke pagar Istana Negara.
Baginda tiada di istana tetapi telah meminta pegawai Istana menerima rakyat sebagai tetami. Setidak-tidaknya baginda tidak menghalang rakyat untuk datang bertandang ke Istana yang pada waktu itu satu sejarah tercipta yang mendekatkan institusi Raja ke hati rakyat.
Di dalam sebuah negara demokrasi yang berperlembagaan, suara dan kuasa rakyat sepatutnya diterima dan dihormati.
DERHAKAKAH DATUK SERI NIZAR?
Raja Nazrin pernah bertitah begini:
Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan, merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan utama menguruskan rutin harian negara dengan dibantu oleh barisan pembesar negeri. Bahawa sistem kerajaan berteraskan Raja ketika itu lagi, tidak pernah bersifat mutlak dalam erti kata sebenar. Struktur pemerintahan begitu tersusun dengan lapisan pembahagian tugas dan perwakilan kuasa di antara Raja dengan pembesar negeri. Raja, setelah disembah maklumkan maklumat dari rakyat, mengamalkan sistem perundangan, bermesyuarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan dari pembesar negeri. Sistem perundingan dan mesyuarah amat diutamakan, dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Syah:
Petikan:
"Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya... melainkan iman... Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong: jikalau teraniaya ia hen-daklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu.... Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana se-kalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh (dalam konteks ini - dititah meletakkan jawatan), melainkan yang patut pada hukum Allah. ....Jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa." (Petikan Sulalat-al-Salatin).
Rasanya telah terang benderang titah itu untuk menjawab segala tohmahan yang menuduh Datuk Seri Nizar sebagai penderhaka.
Lantas apa kini yang berlaku yang menyebabkan cadangan pilihanraya enggan diterima oleh pihak istana seperti yang dipersembahkan oleh "pembesar negeri" yang mewakili suara rakyatnya?
Titah Raja Nazrin lagi:
Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata 'Raja adil Raja disembah - Raja zalim Raja disanggah'. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.
Apabila umNO dilihat memperalatkan Istana dan kemudiannya pihak Istana akur serta tunduk kepadanya dalam masa yang sama mengenepikan rakyatnya, bukankah itu zalim namanya? Bukankah itu bererti 'magna carta' yang menjalinkan hubungan agar mesyuwarah itu dapat terlaksana diantara rakyat dan raja telah dicabuli?
Saya ingin mengambil kata-kata daripada Raja Nazrin juga,
"Sekiranya kita ingin memastikan kelangsungan institusi beraja dikekalkan, institusi beraja juga harus menerima gelombang arus perdana. Sekiranya tidak, ini akan membawa kesan yang lebih besar kepada institusi beraja di Malaysia."
Gelombang arus perdana dapat dilihat dari pilihanraya yang berlaku bermula dari pilihanraya umum yang terakhir (PRU12) kemudian rentetan pilihanraya-pihanraya kecil selepasnya. Arus yang mana kini yang sedang mendominasi gerakan rakyat?
Hanya kejujuran menjawabnya yang memisahkan kebenaran dengan kepalsuan.
Sumber dipetik drpd Kelab Greenboc
Kopi Tenom
8 years ago
0 comments:
Post a Comment